JOTA JOTI 2025 Warnai Stesyen Kulai 9M4JOTA




 JOTA JOTI 2025 Warnai Stesyen Kulai 9M4JOTA dengan Semangat Pengakap Global

Kulai, 18 Oktober 2025 (Sabtu):
Program Jamboree On The Air & Jamboree On The Internet (JOTA-JOTI) 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah di Sekolah Kebangsaan Felda Inas dan telah berjaya menghimpunkan seramai 1300 orang peserta terdiri daripada ahli pengakap dan pemimpin dari daerah Kulai dan Pontian serta beberapa daerah lain.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato’ Hj. Mohd Jafni bin Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor merangkap ADUN N50 Bukit Permai yang turut hadir memeriahkan program ini. Di majlis perasmian tersebut, beliau telah berbesar hati meluluskan peruntukan RM10,000 bagi menyokong program Pengakap Daerah Kulai dan turut menawarkan ruang pejabat baru untuk operasi pengakap daerah Kulai.
Program ini telah dijalankan dengan kerjasama Kelab Kulai DX, yang memainkan peranan penting dalam memberikan pendedahan kepada peserta tentang cara berkomunikasi melalui gelombang radio serta internet dengan rakan Pengakap di seluruh dunia.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program, termasuk sesi komunikasi dua hala antarabangsa, pameran digital, kuiz interaktif, dan cabaran JOTA JOTI yang menguji pengetahuan serta kemahiran teknologi para peserta.
Menurut penganjur, program ini bertujuan memupuk semangat perpaduan dan kerjasama global dalam kalangan ahli Pengakap, di samping meningkatkan kemahiran digital dan komunikasi yang berkesan dalam era teknologi masa kini.
JOTA JOTI 2025 Stesyen Kulai telah berjaya mencapai objektifnya dengan memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan, mencabar dan bermakna kepada semua peserta. Program ini sekali lagi membuktikan bahawa Pengakap sentiasa relevan dan seiring dengan kemajuan dunia digital.

0 Response to "JOTA JOTI 2025 Warnai Stesyen Kulai 9M4JOTA"

Post a Comment